Antara program inklusiviti digital yang telah memberi impak besar kepada komuniti luar bandar ialah program PANDei (People Accessible, Network, for Digital Empowerment Inclusivity) yang dilaksanakan oleh Pustaka Negeri Sarawak.
Melalui program tersebut, komuniti luar bandar telah diberi pendedahan terhadap penggunaan teknologi digital dan internet agar mereka dapat memasarkan hasil-hasil pertanian, membayar bil elektrik, air, membeli belah dan sebagainya menggunakan platform digital.
Tidak dinafikan, luar bandar berdepan dengan masalah liputan internet yang serius, dan sudah tentu pelaksanaan program PANDeI turut berdepan dengan kesukaran, namun Pustaka Negeri telah berjaya mengatasi masalah tersebut dengan menggunakan peranti yang dikenali sebagai Pustaka in a Box.
Pustaka in a Box merupakan aplikasi luar talian (offline) yang telah dicipta oleh Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk meningkatkan kadar literasi maklumat dan aktiviti pencarian maklumat di kawasan yang lemah atau tiada akses internet.
Pustaka in a Box menggunakan mikrokomputer (Raspberry Pi) untuk menyediakan kemudahan seperti e-buku, artikel digital, video dan sumber digital lain yang tidak dilindungi di bawah akta hak cipta.
Alat ini diisi dengan Raspbian Jesse yang mengandungi Wikipedia untuk sekolah, Khan Academy serta Projek Gutenberg dimana seramai 20 orang pengguna boleh mengaksesnya dengan serentak melalui WiFi tempatan yang dipancarkan oleh Raspberry PI pada jarak 20 meter.
Produk yang mampu menyediakan beribu-ribu maklumat digital di tempat yang tidak dapat diakses oleh internet ini telah memberi manfaat kepada komuniti luar bandar serta pelajar sekaligus telah meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka dari pelbagai sumber yang disediakan.
Semasa berlangsungnya program PANDeI di kampung Bunan Gega, Serian, RAKAN Sarawak telah menemu ramah beberapa orang peserta untuk mendapatkan pandangan mereka tentang inisiatif ini.

Menurut Ketua Kampung, Encik Albert anak Andrew Ruha, 66, Pustaka In a Box belum ada di pasaran dan kampung mereka sangat memerlukan peranti seperti itu dan mengesyorkan agar kerajaan dapat membekalkan peranti tersebut di kampung-kampung yang tidak dapat mengakses internet.
Jika Pustaka In a Box dapat dibekalkan di kampung-kampung, lebih senang untuk penduduk kampung mencari maklumat yang diperlukan misalnya yang berkaitan dengan pertanian, usahawan, insiatif kerajaan dan sebagainya.

Sementara itu, Adrian anak Nyuhak, 48, berkata, masa yang diluangkan selama beberapa jam untuk mengikuti proram ini sangat berbaloi kerana banyak ilmu diperolehi malah, beliau telah diperkenalkan dengan peranti canggih iaitu Pustaka in a Box.
Beliau menyifatkan program ini sebagai satu plaform yang terbaik untuk mendidik golongan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencari bahan-bahan ilmiah, maklumat, isu-isu semasa dan sebagainya.

Puan Iti Segan, 51, dari Mukah memberitahu bahawa selama ini dia tidak pernah mengambil tahu tentang internet, namun setelah mengikuti program PANDei, beliau sudah faham sedikit sebanyak tentang internet serta manfaat dan kepentingan internet dalam kehidupan manusia setiap hari.
Sebelum ini, beliau hanya menggunakan telefon bimbit untuk mengirim pesanan ringkas (SMS) dan membuat panggilan.
Daripada pandangan mereka ini, dapat dikatakan bahawa program PANDeI telah berjaya kerana mendapat penerimaan yang sangat menggalakkan daripada komuniti kerana sebelum ini ramai di kalangan masyarakat luar bandar yang belum menguasai kemahiran digital.
Mereka mempunyai telefon yang agak canggih tetapi hanya digunakan untuk membuat panggilan kerana tidak tahu cara hendak memaksimumkan penggunaan telefon pintar.
Namun, setelah mengikuti program PANDeI, minda mereka mula terbuka dan telah mula memanfaatkan telefon pintar mereka untuk mencari pelbagai maklumat yang sahih dan menjalani urusan harian mereka.
Dari semasa ke semasa, pihak Pustaka Negeri akan kemas kini kandungan di dalam Pustaka in a box mengikut keperluan komuniti dan isu-isu semasa.
Contohnya, jika terdapat permintaan daripada komuniti yang berminat hendak menanam durian musang king, pihak Pustaka akan memuatkan video tentang cara-cara menanam durian musang king ke dalam peranti Pustaka in a Box tersebut.
Komuniti luar bandar akan lebih mudah belajar dan memahami kerana Pustaka in A Box mengandungi pelbagai maklumat sama ada dalam bentuk video, gambar, bertulis dan sebagainya yang boleh diakses secara di luar talian.