Penubuhan Pusat Komuniti Digital (DCC) Bakam adalah sebagai satu inisiatif untuk menyediakan platform perkhidmatan serta sokongan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terutama kepada pelajar-pelajar di kawasan tersebut yang memerlukan perkhidmatan internet serta tempat untuk belajar.
Matlamat utama projek DCC Bakam adalah untuk memperkasa kemahiran dan keupayaan bakat komuniti yang lestari agar mereka tidak ketinggalan dalam arus perdana transformasi ekonomi digital negeri Sarawak.
Dengan adanya projek DCC Bakam ini, secara tidak langsung, ia telah dapat membantu dari segi pembangunan sosioekonomi serta rantaian bekalan kepada pengusaha tempatan di mana kebanyakan program yang dijalankan adalah berkait rapat dengan perkara ini.
Pembinaan DCC Bakam ini juga telah mendapat tempat di hati pemimpin tempatan serta mendapat perhatian khusus daripada wakil-wakil rakyat di kawasan ini apatah lagi ianya dilihat dapat mempertingkatkan kesedaran dan ketersediaan digital untuk keperluan semasa dan masa hadapan.
Sebagai contohnya, pada awal kewujudannya, DCC Bakam hanya menumpang di bangunan Bilik Gerakan Biro Wanita Kampung Bakam, namun pada masa kini, wakil rakyat telah menyerahkan bangunan tersebut sepenuhnya kepada pihak Pustaka Negeri bagi menjalankan projek DCC.
Begitu juga dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sentiasa membantu dalam memastikan keselesaan tempat tersebut untuk kegunaan penduduk setempat.
Perkara ini dinyatakan Ketua Sektor Perkhidmatan Perpustakaan, Pustaka Negeri Sarawak, Encik Razak Rambili ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.

Beliau berkata, dengan adanya DCC Bakam ini, penduduk setempat yang tinggal di sekitar kawasan Sibuti juga boleh menjadikan ia sebagai tempat untuk menimba ilmu kerana DCC Bakam bukan hanya merangkumi Kampung Bakam sahaja, akan tetapi turut menyediakan keperluan maklumat kepada penduduk di kawasan sekitar Sibuti Miri.
Seperti yang boleh dilihat secara harian dan bulanan, khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, kebanyakan para pelajar yang menjalani proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) kerap kali hadir ke DCC untuk menggunakan kemudahan internet serta komputer.


Selain itu, bagi penduduk setempat yang mempunyai perniagaan kecil-kecilan seperti menjual hasil-hasil tangkapan laut atau perniagaan katering dan sebagainya banyak dibantu dari segi perkongsian pengetahuan digital tentang cara-cara mempromosikan produk oleh petugas-petugas di DCC ini.
Program-program yang berkenaan dengan keperluan maklumat seperti program PANDei (People Accesible Network for Digital Empowerment and Inclusivity), Sarawak Pay, Literasi Maklumat serta program yang berbentuk kemasyarakatan juga sering diadakan di DCC Bakam.
Selain pelajar, belia dan golongan usahawan, pihak JKKK juga turut memanfaatkan segala kemudahan yang disediakan di DCC seperti menggunakan tempat untuk bermesyuarat, menggunakan kemudahan percetakan, internet percuma dan peralatan-peralatan ICT untuk urusan-urusan kampung.

Hal ini bermaksud, semua kemudahan adalah dikongsikan bersama penduduk setempat bagi memberi impak yang lebih besar kepada pembangunan sosioekonomi serta pengetahuan penduduk setempat.
Dengan adanya pelaksanaan program-program serta kemudahan seperti ini, secara tidak langsung, ia telah memberi impak kepada pembangunan digital ekonomi seperti yang ditekankan oleh Premier Sarawaki, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
DCC Bakam mempunyai pelbagai perkhidmatan yang disediakan selari dengan keperluan penduduk setempat seperti;
- Perkhidmatan Peminjaman Bahan Perpustakaan
- Penyediaan program-program secara percuma
- Perkhidmatan Internet
- Perkhidmatan Komputer & Tablet
- Perkhidmatan 3D printing
- Perkhidmatan 3D Pen
- Perkhidmatan Cetakan
- Penyediaan ruang untuk mesyuarat
- Kemudahan skrin sesentuh untuk proses pembelajaran yang interaktif
- Kemudahan untuk mengakses pangkalan data Pustaka Negeri Sarawak yang mengandungi ratusan ribu bahan dari seluruh dunia