Bagi menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan ekonomi digital dalam kalangan komuniti khususnya di luar bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mewujudkan Pusat Komuniti Digital (DCC) Baji Jaya, Kampung Baru Seberang Sarikei yang telah mula beroperasi sejak 1 Ogos 2020.
Seperti yang kita sedia maklum, DCC ini telah dirasmikan serentak secara ‘live streaming’ oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg pada 7 Oktober 2020 bersempena dengan International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Pada dasarnya, kriteria-kriteria sesebuah perpustakaan untuk melayakkan ia dinaiktaraf menjadi DCC ialah, ia haruslah merupakan perpustakaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedia ada yang telah dilengkapi dengan infrastruktur asas seperti bangunan, ruang bacaan, koleksi bahan perpustakaan, staf dan sebagainya.
Selain itu, sesebuah perpustakaan PBT itu harus belum mempunyai akses internet dan kemudahan komputer namun mempunyai kadar penggunaan yang lebih tinggi serta terdapat penglibatan yang aktif daripada komuniti.

Perkara ini dinyatakan Pengurus Perpustakaan Desa Baji Jaya, Encik Sabana bin Haji Yassin yang ditemu ramahh oleh Smart Sarawak/RAKAN Sarawak secara dalam talian baru-baru ini.
Menurut beliau, penerimaan dan sambutan orang ramai jelas sekali menunjukkan bahawa penduduk sekitar amat teruja serta menyambut baik penubuhan DCC di Kampung Baru Seberang Sarikei ini.
Hal ini terbukti apabila pihak pengurusan DCC Baji Jaya mendapati statistik para pengunjung dan pengguna yang datang untuk mendapakan pelbagai perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan di DCC ini meningkat dari semasa ke semasa.
Jelas beliau, sejak wujudnya DCC Baji Jaya, pelbagai program telah diadakan seperti Program ‘Reading Seeds’ yang menyasarkan golongan ibu bapa dengan mengagihkan set kit permainan untuk membantu merangsangkan minda bayi.
Selain itu, program berkenaan Pendidikan Komuniti juga turut dilaksanakan seperti Bengkel Penulisan Resume, Bengkel Penghasilan Gambar Pasport dan Bengkel Cara Mohon Pekerjaan Secara Dalam Talian yang disasarkan untuk golongan belia yang masih lagi dalam proses mencari kerja.

Pihak DCC Baji Jaya turut menjalankan beberapa bengkel khusus untuk usahawan dengan membantu mereka menggunakan perkhidmatan pembayaran secara dalam talian seperti SarawakPay, ShopeePay, Touch & Go dan sebagainya.
Beliau menyatakan bahawa pihak pengurusan melalui Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) telah melatih para petugas di DCC dengan menyediakan kursus dan bengkel yang berkaitan dengan pembangunan diri untuk membantu para petugas meningkatkan kemahiran diri dan mutu kualiti kerja.
Pihak Pustaka Negeri Sarawak pula menyediakan latihan dan bengkel PANDei (People Accessible Network for Digital Empowerment & Inclusivity) dan ‘Reading Seeds’ manakala KPKT Sarawak terlibat dalam penganjuran latihan kepada para petugas DCC.
Rata-rata pengunjung dalam kalangan belia menyukai perkhidmatan yang disediakan di DCC kerana ia memudahkan mereka menduduki peperiksaan SPA atau memohon pekerjaan dengan adanya kemudahan seperti komputer dan WiFi.
Justeru, ada di kalangan pengguna menyarankan agar DCC menyediakan lebih banyak komputer untuk memudahkan mereka (golongan pelajar) menyiapkan tugasan tanpa ada limitasi yang terhad sekiranya terlalu ramai pengunjung yang mahu menggunakan komputer.
Mereka juga mencadangkan agar lebih banyak program dijalankan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat.

Pihak pengurusan telah memohon peruntukan daripada KPKT Sarawak untuk membina sebuah dewan serba guna yang boleh digunakan untuk mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti tempat mesyuarat, kursus, bengkel dan sebagainya.