Salah satu strategi yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 menerusi Teras Strategik Ke-3 ialah untuk memajukan pendigitalan dalam sektor kewangan.
Pendigitalan telah memberi implikasi yang sangat meluas terhadap perkhidmatan kewangan apatah lagi, pelanggan mengharapkan perkhidmatan yang lebih pantas, lebih lancar dan lebih khusus, dengan kesedaran yang semakin meningkat tentang kepentingan privasi dan keselamatan data.
Di samping itu, model perniagaan digital juga semakin didorong oleh ekosistem, sama ada melalui platform atau rangkaian perkongsian.
Dalam pada itu, landskap risiko juga sedang mengalami perubahan manakala sempadan menjadi semakin kabur dengan rantaian yang baharu dan lebih kompleks dalam dan di luar sektor kewangan.

Justeru, industri kewangan Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan pendigitalan di samping perlu mengurus risiko yang berkaitan, terutamanya risiko yang mungkin mengancam kestabilan seluruh sistem, keperluan pengguna dan keyakinan terhadap sektor kewangan.
Terdapat Lima (4) strategi yang telah diambil di dalam usaha untuk memajukan pendigital dalam sektor kewangan iaitu;
- Memperteguh infrastruktur digital utama untuk masa hadapan
- Menyokong landskap perkhidmatan kewangan digital yang lebih memberangsangkan
- Memperkukuh kesediaan dan tindak balas keselamatan siber
- Menyokong penggunaan teknologi yang lebih meluas bagi tujuan pengawalan dan penyeliaan

Strategi pertama iaitu, memperteguh infrastruktur digital utama untuk masa hadapan dengan memanfaatkan infrastruktur kewangan utama untuk ekosistem digital Malaysia yang lebih meluas serta memajukan pembangunan ekosistem data terbuka yang sesuai dan adil untuk masa hadapan.
Contohnya, pembuktian konsep Central Bank Digital Currency (CBDC10), akses bukan bank kepada RENTAS11, kes penggunaan data terbuka berimpak tinggi dan perkongsian infrastruktur untuk tuntutan kenderaan berdigital penuh.
Strategi kedua iaitu, menyokong landskap perkhidmatan kewangan digital yang lebih memberangsangkan dilakukan dengan cara;
- Mempermudah laluan ujian, skala dan keluar untuk inovasi digital
- Menyokong strategi yang diterajui industri untuk penerapan pembayaran digital
- Mengekalkan pengawasan yang berkesan ke atas model perniagaan digital

Contohnya, laluan yang dipermudah bagi Sandbox Pengawalseliaan, pelesenan penanggung insurans atau pengendali takaful digital, pembayaran digital, panduan pengawalseliaan yang dipertingkatkan bagi pendorong digital yang penting seperti penggunaan awan dan Artificial Intelligence/Machine Learning (AI/ML12).
Strategi ketiga ialah memperkukuh kesediaan dan tindak balas keselamatan siber melalui pengawasan dan keupayaan keselamatan siber di seluruh sistem serta usaha kolaboratif keselamatan siber di dalam negeri dan di peringkat global.
Misalnya, tumpuan dipergiat untuk penyedia perkhidmatan pihak ketiga, perkongsian kecerdasan keselamatan siber yang boleh dilaksanakan melalui peta penularan siber, piawaian istilah untuk keselamatan siber dan daya tahan siber, latihan dan persijilan keselamatan siber.
Strategi keempat ialah, menyokong penggunaan teknologi yang lebih meluas bagi tujuan pengawalan dan penyeliaan dengan memanfaatkan teknologi untuk mengukuhkan lagi pengawalan dan penyeliaan bank terhadap industri kewangan serta memperteguh strategi data bank untuk masa hadapan.
Contohnya, penggunaan teknologi yang lebih meluas untuk pengawalan dan penyeliaan, pembaharuan infrastruktur dan kaedah pengumpulan data Bank.

Kita lihat bahawa bank pusat begitu komited untuk menyokong persekitaran dinamisme pasaran yang lebih besar untuk memberi maklum balas kepada perubahan keperluan ekonomi dan masyarakat.
Langkah ini sudah tentu memerlukan lebih ramai pihak dalam sistem kewangan beroperasi dengan menggalakkan persaingan dan inovasi yang sihat serta berkelakuan bijak dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, perkhidmatan kewangan perlu membantu orang ramai dan perniagaan untuk mengembangkan kekayaan, terlibat dalam perniagaan dan perdagangan serta membina daya tahan.
Justeru, Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 ini akan bertindak untuk menyelaras sektor kewangan dengan aspirasi negara agar pendigital dalam sektor kewangan bukan sahaja menjadi ekonomi bernilai tambah tinggi dan berpendapatan tinggi, malah meletakkan asas kukuh untuk laluan pembangunan yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.
