Maklumat atau biasanya disebut sebagai informasi, wujud hasil daripada pemprosesan, pengumpulan dan penganalisisan data bagi menambah pengetahuan penerima maklumat.
Ciri-ciri maklumat ialah, ia harus relevan, boleh dipercayai, boleh difahami, lengkap, tepat pada masanya serta membantu mengurangkan kapasiti.
Merujuk beberapa sumber yang lain, maklumat mengandungi data yang tersusun dalam satu struktur yang mempunyai makna, bahan dan pengetahuan.

Data tidak dianggap sebagai maklumat sekiranya ia dikatakan sudah lapuk atau bercanggah daripada realiti sebenar, kabur, tidak jelas, tidak lengkap atau bukan dalam format yang diperlukan.
Seseorang pencari maklumat yang cekap, sama ada pelajar, golongan profesional atau seorang pekerja harus berupaya mengenal pasti keperluan-keperluan maklumat, tahu bagaimana untuk mengesan, mengakses, mendapat semula, menilai, menyusun dan menggunakan maklumat tersebut.
Selain itu, pencari maklumat juga perlu tahu bagaimana seharusnya dia dapat memperoleh manfaat daripada maklumat yang telah dikumpulkan untuk menjadikan dia seorang yang celik maklumat.
Oleh itu, maklumat dikaitkan dengan pengetahuan yang diperoleh menerusi proses mengumpul data yang akan mengembangkan kemampuan kita dalam berinteraksi dengan dunia di sekeliling kita.

Berita pula ialah apa-apa jenis maklumat baharu atau maklumat hal semasa yang disampaikan melalui media percetakan, penyiaran, secara lisan atau internet kepada parti ketiga atau orang ramai.
Namun begitu, definisi umum berita ialah laporan mengenai fakta atau idea terbaharu yang benar dan penting bagi sebahagian khalayak melalui pelbagai saluran media seperti surat khabar, radio, televisyen, dan internet.
Ciri-ciri utama berita ialah, sesuatu peristiwa mesti nyata dan mungkin untuk disahkan manakala wartawan atau penyampai berita tidak boleh mencerminkan pendapat mereka atau membuat penilaian nilai ketika menyampaikan sesuatu berita.
Selain itu, peristiwa mesti disampaikan dengan teratur dan logik, data dan pengulangan yang tidak relevan mesti dihilangkan, berita mesti mempunyai kepentingan sosial dan tidak khusus dan mesti merujuk kepada episod terkini.
Berita ialah sebuah informasi yang mengandungi fakta tentang sesuatu yang sedang terjadi mahupun sudah terjadi dan disampaikan melalui pelbagai saluran media sama ada media elektronik mahupun media cetak.

Secara sederhana para pakar jurnalistik mendefinisikan berita sebagai apa yang ditulis surat khabar, apa yang disiarkan radio, dan apa yang ditayangkan oleh televisyen.
Tujuan berita adalah untuk membolehkan masyarakat mengetahui perkembangan dan segala informasi yang terjadi di seluruh pelosok dunia.
Karena itu, dalam penyampaian berita, ia harus disertai fakta-fakta yang bersifat terkini kerana tujuan berita adalah untuk memberikan informasi kepada masyarakat tentang sebuah kejadian terbaharu.
Berita ialah laporan tercepat dari suatu peristiwa atau kejadian yang faktual, penting, dan menarik bagi sebahagian besar pembaca serta menyangkut kepentingan mereka.
Perkembangan teknologi komunikasi hari ini telah mempengaruhi penyebaran maklumat dan berita-berita penting ke seluruh pelosok dunia yang mempunyai rangkaian internet.
Kemudahan yang wujud ini membolehkan masyarakat memperoleh maklumat dan berita dengan pantas tanpa mengira masa dan waktu sehingga dikatakan maklumat diumpamakan seperti berada di hujung jari dan boleh dicapai di mana sahaja.
Media pula merupakan medium yang membolehkan sesuatu maklumat tersebar tidak kira melalui media baharu mahupun media tradisional.
Perbezaan yang dapat dilihat apabila menggunakan media baharu dan media tradisional ini amat ketara daripada segi masa, kos, tenaga dan sebagainya.
Media baharu diertikan sebagai media yang mampu menggambarkan isi atau maklumat secara interaktif, pengguna dapat memahami setiap maklumat dengan mudah, pengguna boleh bertindak secara aktif dalam menyampaikan maklumat, dan pengguna boleh berinteraksi dan berkomunikasi dengan pengguna yang lain (Abdoel, 2008).
Salah satu media baharu ialah media sosial iaitu platform bagi pengguna berkongsi tentang maklumat yang diperoleh, menulis maklumat yang diperlukan, berinteraksi antara satu sama lain secara langsung sama ada dalam jarak jauh mahupun dekat.
Namun begitu, kemajuan dalam pencapaian maklumat dan berita ini telah dicemari dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah memanipulasikan maklumat yang disebarkan.
Kes manipulasi maklumat dalam media sosial ini dilakukan oleh pihak yang berkepentingan dari sudut perniagaan, politik, peribadi dan sebagainya.
Sikap manusia yang menggunakan kemudahan kemajuan tersebut tanpa ada rasa tanggungjawab telah mengakibatkan sesebuah institusi perniagaan mengalami kerugian, maruah seseorang tercalar, masyarakat menjadi keliru dengan maklumat dan sebagainya.
Masyarakat terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar mudah terdedah dengan maklumat yang tidak sahih atau palsu, apatah lagi mereka mempunyai sumber rujukan yang terhad dan masih kurang terdedah dengan perkembangan teknologi komunikasi.
Pemalsuan atau memanipulasikan maklumat dalam media sosial lazimnya disebarkan melalui akaun laman sosial yang palsu atau lebih dikenali sebagai ‘fake account’
Dalam zaman teknologi digital dan internet ini, laman sosial dan forum telah dijadikan sebagai medan untuk menyebarkan fitnah dan berita yang kurang tepat.
Terdapat juga sesetengah berita atau maklumat palsu dikirimkan melalui e-mel dan tersebar secara meluas dengan tujuan adalah untuk mengaibkan individu tertentu. Kadangkala blog juga dijadikan medium untuk menaburkan fitnah dan memecahbelahkan masyarakat dan sekiranya masalah ini tidak dibendung, ia boleh menjejaskan keamanan negara.