Maklumat palsu adalah maklumat yang disebarkan tanpa kesahihan serta bukti yang sah dan jika tidak dibendung penyebarannya, ia boleh mendatangkan pelbagai kesan yang negatif.
Maklumat palsu boleh dikategorikan kepada empat (4) jenis iaitu khabar angin (rumours); gosip (gossip); spekulasi (speculation); dan penipuan (hoax).
Gosip adalah kandungan perbualan atau laporan mengenai orang lain dan biasanya ia melibatkan maklumat yang tidak sah atau tidak benar.
Khabar angin pula merupakan cerita yang tiada kepastian dan disampaikan secara berulang-ulang dari seorang kepada seorang yang lain mengenai sesuatu peristiwa, objek, terbitan dan sebagainya.

Berita spekulasi adalah pembentukan teori atau sangkaan semata-mata tanpa bukti yang kukuh manakala penipuan adalah sesuatu perbuatan yang bertujuan untuk menipu atau membuat helah kepada orang lain.
Harus diingat bahawa, berita palsu berasal daripada maklumat palsu yang kebanyakannya disebarkan oleh sumber berita melalui media sosial seperti facebook (FB), Instagram (IG), Whatsapp, Wechat, Telegram, Blog dan sebagainya.
Berita palsu melibatkan penyebaran maklumat palsu atau maklumat yang tidak betul pada skala atau platform yang luas dan menyampaikannya sebagai berita sebenar.
Maklumat palsu yang disebarkan amat berbahaya kerana berpotensi menjangkau banyak orang dan ia biasanya disebarkan oleh kelompok yang tidak bertanggungjawab, sama ada oleh sesebuah organisasi atau laman sesawang yang dirancang untuk menyebarkan maklumat palsu.
Oleh sebab itu, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengingatkan orang ramai bahawa, perbualan dalam mana-mana kumpulan aplikasi pesanan seperti Whatsapp, Wechat, Telegram dan sebagainya adalah bersifat persendirian.
Adalah menjadi kesalahan bagi seseorang yang menggunakan media sosial untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang berbaur hasutan dan ancaman untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Sekiranya terdapat aduan daripada orang ramai berkenaan kandungan yang disebarkan dalam mana-mana kumpulan aplikasi media sosial tersebut, maka siasatan akan dijalankan dan mana-mana siasatan tidak akan membezakan diantara pentadbir mahupun ahli kumpulan.
Justeru, orang ramai, sama ada pentadbir atau ahli kumpulan, perlu berwaspada dalam menyebarkan maklumat dalam kumpulan masing-masing supaya tidak terjadi kes penyebaran maklumat palsu.
Jika pentadbir atau mana-mana ahli kumpulan didapati menyebarkan maklumat palsu, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka kerana penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang Malaysia yang termaktub dalam seksyen 233 AKM 1998.

Berdasarkan fakta, bukti dan perlakuan, seorang pentadbir mungkin dipertanggungjawabkan dalam keadaan seperti berikut;
- Apabila pentadbir sendiri membuat komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut dan mengganggu orang lain, merupakan kesalahan di bawah seksyen 233 AKM 1998;
- Apabila pentadbir, walaupun dengan sendirinya tidak membuat komen tersebut, meminta komen sedemikian daripada yang lain;
- Apabila pentadbir membantu, melalui hasutan, mana-mana orang lain dalam kumpulan untuk membuat komen tersebut;
- Apabila pentadbir menghalang siasatan terhadap komen sedemikian oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.
Pihak SKMM akan mempertimbangkan keperluan mengadakan garis panduan tentang penggunaan aplikasi pesanan dan seumpamanya.
Pada masa yang sama, orang ramai digesa untuk sentiasa berhemah dalam penggunaan media sosial demi melindungi diri sendiri.
Pada zaman Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) yang serba canggih hari ini, sesiapa sahaja bebas menulis atau berkongsi apa sahaja maklumat asalkan ia kelihatan menarik dan kelihatan betul, namun kita sebagai penerima maklumat tidak harus percaya bulat-bulat maklumat yang diterima.
Kadang-kadang sesetengah maklumat yang diterima dalam talian sungguh meyakinkan sehingga sukar untuk kita tentukan sama ada ia adalah maklumat benar atau palsu.
Oleh itu, kita perlu berwaspada dan periksa sesuatu maklumat sebelum mempercayainya dan membuat perkongsian.
Berikut merupakan salah satu kaedah (SURE) untuk menilai sesuatu maklumat;
- Source (Sumber): Lihat sumber maklumat sama ada ia boleh dipercayai atau tidak.
- Understand (Faham): Fahamkan tentang maklumat yang anda baca kemudian, cari fakta dan bukannya pendapat.
- Research (Selidik): Selidiki dengan lebih mendalam tentang sesuatu maklumat kemudian bandingkan dengan pelbagai sumber.
- Evaluate (Nilai): Lihat dari pelbagai sudut, kerana sekurang-kurangnya harus ada dua pandangan tentang suatu perkara.

Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk merujuk portal SEBENARNYA.MY, iaitu sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang, dan lain-lain. Dengan adanya portal ini, diharap gejala penularan berita palsu dalam talian yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara dapat ditangani dengan berkesan.