Kemahiran Digital Perlu Dalam Era Globalisasi

Kemajuan teknologi yang semakin meningkat pada masa kini telah memberi impak yang sangat besar kepada hampir semua sistem yang ada di dunia terutama berkaitan dengan pemprosesan data.

Oleh itu, dalam berdepan dengan era globalisasi ini, sekurang-kurangnya kita harus tahu menggunakan asas kemahiran digital seperti cara membuat akaun e-mel, menghantar e-mel, menggunakan Google, Microsoft Word dan Power Point.

Justeru, tidak kira agensi kerajaan mahupun syarikat swasta, peningkatan kemahiran digital adalah amat penting bagi memastikan pekerja sentiasa dapat mengadaptasi kemahiran mereka sejajar dengan perkembangan semasa.

Pada masa kini, kita dapat lihat pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan dalam usaha meningkatkan kemahiran digital bagi memastikan setiap individu kekal relevan dalam perkembangan pantas dunia digital hari ini.

Misalnya, inisiatif Kemahiran Digital Pekerjaan Masa Hadapan yang dilaksanakan di bawah program MYFutureJobs menerusi Kementerian Sumber Manusia Malaysia yang bertujuan untuk menyediakan para belia dengan pekerjaan abad ke-21.

MYFutureJobs melaksanakan inisiatif Kemahiran Digital Pekerjaan Masa Hadapan

Program tersebut menyediakan latihan kemahiran digital bagi pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi seperti analisis data, sains data, pembangunan operasi, pembangunan peranti perisian dan sokongan teknologi maklumat (IT).

Setelah selesai sesi latihan, peserta akan menerima sijil dan peluang untuk penempatan pekerjaan di bidang berkaitan.

Objektif program ini adalah untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran dan menerima latihan semula dalam bidang digital bagi pekerjaan dengan permintaan tinggi.

Selain itu, ia juga adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran pencari kerja dalam mendepani landskap masa kini yang kompetitif dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan dan menjamin penempatan pekerjaan pada akhir program.

Begitu juga dengan International Baccalaureate, Kementerian Pendidikan Tinggi (IB KPM) yang telah mengendalikan pelbagai kursus menerusi Jabatan Latihan Kepimpinan Teknologi dan Digital (JLKTD) bagi memastikan Pengetua Guru Besar (PGB) berada pada kompetensi yang terkini dalam penguasaan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kemahiran digital amat diperlukan dan menjadi prasyarat untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan

Antara Kursus yang dilaksanakan seperti Kursus Untuk Pemimpin Instructional; Kursus Kepimpinan Strategik ICT; Kursus Pengurusan Pembelajaran Maya;

Kursus Pemikiran Komputasional; Kursus International Computer Driving License (ICDL); Kursus Digital Leaders Untuk Kepimpinan Digital; dan Kursus-Kursus ICT Asas, Pertengahan dan Lanjutan. https://iab.moe.edu.my/index.php/ms/m-kursus-pkpop/m-kursus-jktd-pkpop#

Matlamat pembangunan ICT KPM adalah untuk memperluaskan akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT, menekankan pengintegrasian ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT dalam kalangan pelajar, tenaga pengajar dan personel KPM.

Prasarana ICT akan menjadi sumber fizikal yang penting kepada proses kerja harian pada semua peringkat pengurusan kerana keberkesanan dan kecekapan pengurusan juga akan banyak dipengaruhi oleh tahap penggunaan prasarana ICT.

Konsep pengurusan pendidikan sebagai pemimpin Instructional kepada subordinat di organisasi pendidikan telah lama diperkatakan dan ia merupakan cabaran kepada kaedah pengurusan dalam organisasi pendidikan bagi mencapai matlamat secekapnya.

Infografik yang menunjukkan lima kemahiran digital yang diutamakan oleh majikan. (Sumber: My MDEC / www.mdec.my)

Program ICT untuk Pemimpin Instructional akan menyediakan pengurus pendidikan dengan pengetahuan dan kemahiran ICT dalam skop yang boleh membantu mereka merancang, melaksana, memantau dan menilai pencapaian matlamat organisasi.

Pemimpin sekolah memainkan peranan penting dalam pembangunan prasarana ICT yang menjadi pengupaya kepada proses kerja harian di semua peringkat pengurusan.

Kursus Kepimpinan Strategik ICT pula bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemimpin sekolah tentang perancangan, pembangunan dan pengurusan prasarana  ICT dengan menggunakan sumber manusia dan peralatan yang sedia ada.

Pembelajaran maya sering dikaitkan dengan konsep seperti e-pembelajaran, pembelajaran dalam talian, pembelajaran jarak jauh dan pembelajaran berasaskan laman sesawang.

Pembelajaran maya merupakan satu trend pembelajaran abad ke-21 yang menekankan penggunaan internet untuk menguruskan pembelajaran, membekalkan mekanisme penghantaran maklumat, pemantauan prestasi pelajar dan capaian kepada sumber PdP yang segera.

Selaras dengan perkembangan itu, KPM telah memutuskan supaya Pelantar Pembelajaran Digital (DELIMa) dilaksanakan di semua sekolah.

Persekitaran DELIMa adalah sistem pembelajaran berasaskan laman sesawang yang menyerupai pendidikan dunia sebenar dengan menyatukan konsep pendidikan konvensional.

Sebagai contoh, guru-guru boleh memberi tugasan, ujian dan markah secara maya, sementara para pelajar boleh menghantar kerja rumah mereka dan menyemak markah yang diperolehi melalui aplikasi yang terdapat dalam DELIMa KPM.

Ibu bapa pula boleh berkomunikasi dengan guru-guru dan pihak pentadbir sekolah membolehkan mereka menyusun kalendar sekolah dan memaparkan notis melalui Internet.

Pelantar Pembelajaran Digital DELIMa KPM, boleh diakses di mana jua, pada bila-bila masa dengan adanya sambungan Internet.

Pemikiran komputasional adalah kemahiran asas yang penting dalam menyelesaikan masalah, mereka bentuk sistem, dan memahami tingkah laku manusia dengan menggunakan konsep asas sains komputer.

Pemikiran komputasional dapat menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik.

Teknik yang digunakan untuk menyelesaikan masalah adalah seperti Leraian, Pengecaman Corak, Peniskalaan dan Pengitlakan.

Individu perlu menggunakan pemikiran logik bagi mengenal pasti maklumat yang penting dan mengaturkan langkah penyelesaian mengikut turutan yang logikal, menilai pemilihan dan keputusan yang telah dilakukan bagi menguji kesahihan dan keboleh laksanaan prosedur tersebut.

Di peringkat negeri Sarawak pula, kita dapat lihat pelbagai usaha dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak melalui program-program, kursus dan latihan kemahiran digital selari dengan strategi pembangunan pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030.

Misalnya, Pustaka Negeri Sarawak yang terus komited menerapkan budaya pendigitalan dalam kalangan staf organisasi sebagai inisiatif menyokong usaha kerajaan ke arah era pendigitalan selaras dengan PCDS 2030 dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini.

Salah satu inisiatif usaha berterusan Pustaka dalam hal ini ialah kewujudan program Rangkaian Akses Rakyat untuk Pemerkasaan Digital dan Keterangkuman (PANDei) serta penubuhan Pusat Komuniti Digital (DCC) dengan menjadikan Pustaka sebagai agensi pelaksana.

Antara kemudahan di DCC yang boleh dimanfaatkan oleh para pengunjung

Sehingga kini Pustaka telah mempunyai 12 buah Pusat Komuniti Digital bertempat di Kuching, Miri, Limbang, Sibu, Betong dan Samarahan yang telah beroperasi dan dilengkapi dengan infrastruktur fizikal asas, buku, peralatan ICT dan sambungan Internet.

Selain untuk menyediakan platform dan sokongan perkhidmatan ICT, penubuhan DCC ini juga bertujuan meningkatkan kemahiran digital komuniti dan membina kapasiti bakat semasa warga Sarawak agar menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi untuk kemakmuran menjelang 2030.

Program ini merupakan kerjasama antara Pustaka dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) yang telah membangun dan kini ia menawarkan kursus pembelajaran dalam talian yang menggalakkan kesedaran dan kemahiran keterangkuman digital dalam kalangan rakyat Sarawak.

Pembangunan kursus e-Pembelajaran mengenai literasi digital menerusi modul PANDei boleh diakses secara percuma dan dibuka kepada semua.

Dengan ini, ia akan membolehkan orang ramai mencari maklumat dalam talian, melakukan transaksi dalam talian atau pembayaran elektronik dan juga menggunakan perkhidmatan digital yang dimulakan kerajaan seperti S-Pay dan aplikasi mudah alih Kerajaan Sarawak.

Selain Pustaka, banyak lagi agensi-agensi lain yang turut komited dalam usaha memperkasakan kemahiran digital ini antaranya Dewan Muda Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS).

Pada 26 Januari 2023, DUBS bersama Koperasi Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) telah menganjurkan Program Digital Marketing Workshop Skillspreneurs khusus kepada usahawan belia di Sarawak.

Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kemahiran digital terhadap usahawan-usahawan belia di Sarawak dan seterusnya membantu membangunkan perniagaan mereka.

Objektif utama program ini adalah untuk merancakkan ekonomi terutamanya dalam kalangan masyarakat bumiputera di Sarawak yang merupakan salah satu pemacu ekonomi yang penting di negeri ini selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak iaitu PCDS 2030.

Melihat betapa pentingnya kemahiran digital ini, agensi kerajaan mahupun syarikat swasta perlu memperbanyakkan lagi latihan mengenai teknologi bagi membantu pekerja meningkatkan kemahiran digital untuk disesuaikan dengan tuntutan persekitaran pekerjaan yang kian berubah.

Pada masa yang sama, pekerja juga perlu menyesuaikan diri dengan budaya kerja baharu yang bersikap hibrid, supaya mereka dapat bekerja dari mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

More from author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related posts

Advertismentspot_img

Latest posts

Penggunaan e-Permit Dalam Mengimport Bahan Tanaman ke Sarawak

Bahagian Biosekuriti Tumbuhan dan Kuarantin, Jabatan Pertanian Sarawak menetapkan semua Permit Import hanya sah untuk tempoh tiga bulan sahaja, dan setiap permit hanya boleh digunakan untuk satu konsaimen import sahaja bagi memastikan pengurusan yang teratur.

Jadual Hidrostatik dan iTimC Tingkatkan Efisiensi dan Ketepatan Pentaksiran Royalti

Royalti kayu yang dikutip bukan saja memberi pulangan kepada kerajaan, juga memberi manfaat kepada rakyat seperti pembinaan kemudahan infrastruktur dan penyediaan bekalan air bersih melalui Lembaga Kumpulan Wang Konsesi Hutan (CESS FUND) serta sokongan kepada sektor pendidikan di Sarawak.

Sustainability in Action

The Hari Terbuka Keusahawanan Sosial Belia (HTKSB) showcased Sarawak's social entrepreneurs, inspiring youth to pursue impactful business models that address community issues and promote sustainable development

Want to stay up to date with the latest news?

We would love to hear from you! Please fill in your details and we will stay in touch. It's that simple!