Di Malaysia, kawasan litupan hutan meliputi kira-kira 7.6 juta hektar atau 62% daripada jumlah keseluruhan kawasan negara.
Sarawak merupakan penyumbang utama kepada litupan hutan di Malaysia, dengan mencatatkan 42.4% daripada jumlah tersebut.
Bagi memastikan kelestarian hutan dan amalan pengurusan hutan mampan, Malaysia telah melaksanakan amalan pengurusan hutan yang lebih teratur dan terkawal, dengan jumlah keluasan pensijilan mencapai 2.5 juta hektar.
Pensijilan pengurusan hutan memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan sumber hutan dilakukan secara berterusan dan mampan.
Berdasarkan POST-2022 Forest Management Certification Policy, terdapat 26 Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang meliputi 2.38 juta hektar dan 7 Unit Pengurusan Ladang Hutan (FPMU) yang mencakupi 97,966 hektar.
Pensijilan ini adalah satu langkah penting untuk meningkatkan tahap pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan hutan.
Sehubungan itu, berdasarkan rekod pengeluaran kayu dan kutipan royalti pada tahun 2021, pengeluaran kayu di Sarawak berjumlah 2,333,253.10 m³ dan pada tahun 2022, jumlah tersebut menurun sedikit kepada 2,263,765.52 m³.
Walau bagaimanapun, pengeluaran kayu pada tahun 2023 meningkat sedikit menjadi 2,312,765.00 m³.
Jumlah kutipan royalti kayu juga menunjukkan pertumbuhan yang stabil, dengan kutipan royalti bagi tahun 2021 berjumlah RM312,412,558.67, meningkat kepada RM328,852,945 pada 2022, dan terus berkembang kepada RM340,782,637.38 pada tahun 2023.
Walaupun sistem kutipan royalti penting untuk pembangunan negeri, terdapat beberapa cabaran dalam proses ini jelas Ketua Kumpulan Great Minds, Dr. Modin anak Ambau ketika ditemu bual RAKAN Sarawak.

Sebagai makluman, Kumpulan Great Minds dari Jabatan Hutan Sarawak telah memenangi Anugerah Green Innovation sempena Sarawak Civil Service Innovation Convention Awards (SCSICA) 2024 pada bulan Oktober.
Jelas beliau, antara cabaran tersebut ialah, proses kerja yang rumit dan memakan masa, penggunaan kertas yang banyak, serta permohonan berulang kali yang berlaku pada hari yang sama.
Selain itu, penglibatan pegawai lapangan yang ramai dan keperluan untuk menggunakan jalan awam bagi membawa muatan kayu turut menambah kesulitan dalam menguruskan kutipan royalti.
Untuk menangani masalah-masalah tersebut, langkah penyelesaian melalui teknologi digital telah diperkenalkan.
Salah satu inovasi utama adalah dengan memperkenalkan Jadual Hidrostatik yang berasaskan prinsip Archimedes.

Jadual ini digunakan untuk menentukan berat kayu yang diangkut menggunakan tongkang tanpa memerlukan jambatan timbang, yang kadangkala tidak tersedia di kawasan tertentu.
Prinsip yang digunakan dalam Jadual Hidrostatik adalah berdasarkan bacaan berat kayu dari jambatan timbang, yang kemudiannya digunakan untuk mengira berat kayu yang berada dalam tongkang.

Proses ini melibatkan pengiraan menggunakan faktor saiz dek kapal dan aras draft air, yang membolehkan pengiraan berat kayu yang lebih tepat dan mudah.
Bacaan yang diperoleh melalui kaedah ini digunakan untuk membina Jadual Hidrostatik, yang menjadi alat penting dalam pentaksiran royalti kayu di kawasan yang tidak dilengkapi dengan jambatan timbang.
Selain itu, Intelligence Timber Calculator (iTimC) juga telah dibangunkan untuk menggantikan jambatan timbang dalam pentaksiran royalti kayu ladang hutan.
iTimC adalah sebuah aplikasi digital yang membolehkan pentaksiran royalti dilakukan dengan lebih pantas dan tepat tanpa memerlukan jambatan timbang.
Aplikasi ini sangat berguna untuk kawasan yang tidak mempunyai akses kepada jambatan timbang, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan efisiensi dalam kutipan royalti.
Penggunaan sistem digital seperti Jadual Hidrostatik dan iTimC memberikan banyak manfaat kepada Jabatan Hutan Sarawak dan pihak berkepentingan.

Antaranya termasuk peningkatan efisiensi dalam pengurusan royalti kayu, pengurangan penggunaan kertas, serta penjimatan masa dan kos operasi.
Sistem digital ini juga mengurangkan penglibatan pegawai lapangan yang ramai dan memudahkan proses kutipan royalti, yang sebelum ini memerlukan beberapa permohonan berulang pada hari yang sama.
Pengalaman pengguna teknologi ini menunjukkan keberkesanan dan kebaikan sistem baru ini, misalnya Encik Ting Ing Kok, wakil Syarikat Shin Yang Forestry S/B (LPF0017), menyatakan bahawa penggunaan Jadual Hidrostatik telah memudahkan proses pentaksiran dan menjimatkan masa serta kos operasi syarikat mereka.
Begitu juga dengan Encik Wong Haw Eng, wakil Syarikat Woodman Kuala Baram Estate S/B (LPF0004), yang mengakui bahawa kaedah ini telah sangat memudahkan kerja mereka dan mengurangkan kos operasi.
Bahkan kakitangan Jabatan Hutan, Encik Iswandy Marjeni, turut memuji keberkesanan kaedah Hidrostatik dalam memudahkan proses royalti marking kayu ladang hutan yang tidak dilengkapi dengan jambatan timbang.
Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga mengurangkan penggunaan transit pass yang sebelum ini mencecah sehingga 35 keping, kini hanya memerlukan 1 keping sahaja.
Sebagai kesimpulannya, penerapan sistem digital dalam pengurusan hutan dan kutipan royalti kayu di Sarawak telah memberikan impak yang sangat positif.
Teknologi seperti iTimC dan Jadual Hidrostatik bukan sahaja meningkatkan efisiensi dan ketepatan dalam pentaksiran royalti, tetapi juga membantu dalam mengurangkan kos dan masa.
Penggunaan teknologi ini telah membawa kepada pengurangan ketirisan dan memudahkan kerja-kerja harian yang sebelum ini memerlukan banyak tenaga kerja dan masa.
Oleh itu, pendigitalan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pihak kerajaan, tetapi juga kepada industri kayu dan rakyat Sarawak secara keseluruhan.
