Inovasi Perkasa PMKS

Kita semua maklum bahawa inovasi adalah satu tindakan untuk memulakan sesuatu yang baharu dan faktor yang penting untuk menggalakkan manusia menggunakan kebolehan atau kreativiti bagi menghasilkan sesuatu produk atau ciptaan untuk manfaat manusia.

Inovasi juga merupakan jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah dan selalunya ia menjadikan apa yang sedia ada itu menjadi lebih mudah.

Sempena Persidangan Inovasi Malaysia 2022 yang diadakan pada 2 Ogos 2022 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), telah berlangsungnya sesi perbincangan tentang  bagaimana inovasi memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Sesi perbincangan tentang bagaimana inovasi memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)

Sesi perbincangan tersebut melibatkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaksanaan & Pembangunan), SME Corp. Malaysia, Encik Zaky Moh, Pengasas Syarikat Suri Inspirasi Sdn. Bhd Puan Salena Ahmad dan Pengasas Syarikat MyB Prosthetic Limb, Profesor Dr. Mohd Yazid Bajuri.

Encik Zaky Moh menjelaskan, sebagai agensi kerajaan yang membantu dalam pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia, sememangnya SME Corp amat menitikberatkan program-program yang dilaksanakan dengan menjurus kepada inovasi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaksanaan & Pembangunan), SME Corp. Malaysia, Encik Zaky Moh

Program inovasi yang SME Corp perkenalkan merangkumi Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta Program Ekosistem Inklusif PKS (I-SEE).

Di bawah Pelan Induk PKS ini, terdapat enam Program Berimpak Tinggi (HIP) dan 26 inisiatif sokongan telah dirancang ke arah mengubah PKS menjadi pembawa perubahan (game changer), sesuai untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa.

Menurut beliau, terdapat dua program yang berkaitan dengan inovasi iaitu HIP 2: Platform Pengkomersialan Teknologi (TCP) dan HIP 6: Program Keterangkuman Inovasi.

Melalui HIP 2 (TCP), SME Corp bekerjasama dengan PlatCOM Ventures Sdn. Bhd dalam membantu syarikat untuk mengkomersialkan produk-produk berinovasi di peringkat yang tinggi.

PKS yang sedang berkembang akan dapat mengatasi halangan pasaran dan pembiayaan dalam usaha mereka untuk berinovasi.

Hal ini akan memudahkan mereka untuk melabur dalam teknologi yang dipercayai, sekali gus mengurangkan risiko yang dihadapi.

Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan PKS boleh membangunkan produk dan perkhidmatan dengan kos yang lebih rendah dan tempoh masa ke pasaran yang lebih pendek.

HIP 6 pula dilaksanakan bagi memupuk, mengenal pasti, menerima pakai, menambah nilai dan membangunkan produk inovasi inklusif yang mampu menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada komuniti setempat, sama ada dari sudut kepenggunaan, kesihatan, produktiviti dan pendidikan terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Sebagai contoh, Puan Salena Ahmad adalah salah seorang usahawan yang terlibat dalam program yang menjurus untuk membantu golongan B40 dan golongan luar bandar ataupun golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk meningkatkan taraf hidup menerusi perniagaan yang berkaitan dengan inovasi.

Puan Salena Ahmad adalah pengasas Syarikat Suri Inspirasi Sdn. Bhd yang telah ditubuhkan pada tahun 2016.

Pengasas Syarikat Suri Inspirasi Sdn. Bhd Puan Salena Ahmad

Suri Inspirasi Sdn. Bhd merupakan sebuah syarikat perusahaan sosial yang menghasilkan produk-produk kraf tangan menggunakan seluar jean denim terpakai yang diperoleh daripada Indonesia hasil kolaborasi dengan syarikat-syarikat korporat.

Menurut Puan Salena, produk-produk kraf tangan tersebut dijahit oleh golongan-golongan ibu tunggal dari kampung Sungai Udang, Klang.

Beliau mengakui yang sebelum ini pernah menjalankan perniagaan, tetapi apabila teknologi semakin berubah, beliau terpaksa menghentikan perusahaan dan pada masa yang sama (2014), beliau turut berdepan dengan dugaan hidup apabila ditakdirkan menjadi ibu tunggal.

Akhirnya beliau balik ke kampung halaman di Sungai Udang, dan di situlah beliau mendapati ramai ibu-ibu tunggal yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, dan kebanyakan mereka semua bergantung kepada bantuan zakat dan bantuan-bantuan lain.

Ditambah pula dengan cabaran lain d imana kebanyakan ibu-ibu tunggal tersebut mempunyai bilangan anak yang ramai sehingga mereka tidak boleh mencari pekerjaan sepenuh masa.

Dari situlah beliau mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan yang baharu dengan bermatlamat mahukan perniagaan yang memberi impak yang besar kepada dirinya dan golongan ibu-ibu tunggal.

Beliau sebenarnya berasa bersyukur kerana pernah ada pengalaman menjalankan perniagaan satu ketika dulu.

Jadi apabila beliau mendapat idea untuk menggunakan seluar jean denim terpakai ini, beliau mula melatih ibu-ibu tunggal menghasilkan kraf tangan untuk menjana pendapatan mereka.

Impak ketara yang dapat dilihat ialah, di mana ibu-ibu tunggal tersebut daripada ‘zero’ kepada ‘hero’, daripada tiada kemahiran kepada ada kemahiran, daripada tiada sijil, kini sudah memilik Sijil SKM Level 3 Jahitan Kreatif dan daripada pekerja biasa kini mereka sudah menjadi ‘coach’ di Syarikat Suri Inspirasi Sdn. Bhd yang turut menyediakan latihan kemahiran kepada orang ramai.

Bagi beliau, apabila ibu-ibu tunggal ini keluar daripada kepompong mereka, di situlah mereka lihat ramai lagi orang yang lebih susah daripada mereka sehingga mereka menjadi inspirasi apabila memberi latihan kepada ibu-ibu tunggal yang lain. 

Kembali kepada Encik Zaky Moh, di mana beliau memaklumkan apabila masuk ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), SME Corp meneruskan Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6), namun ia telah dijenamakan sebagai Program Ekosistem Inklusif PKS (I-SEE).

Di bawah program ini, SME Corp bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) yang telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program bagi memperkasa kumpulan B40 dengan memanfaatkan inovasi.

Program ini akan menggalakkan transformasi komuniti, termasuk perusahaan mikro di kawasan luar bandar menerusi bimbingan dan penyediaan sokongan teknikal dan bantuan kewangan.

Menurut beliau, SME Corp perlu mencari ataupun mendapatkan para inovator yang mempunyai idea-idea yang boleh membantu golongan B40 ataupun luar bandar dalam meningkatkan taraf hidup mereka sama ada melalui perniagaan ataupun projek-projek bersifat komuniti.

Sejak 2015 sehingga hari ini, lebih kurang 140 projek telah dilaksanakan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 projek telah berjaya dikomersialkan dan setakat hari ini, SME Corp telah merekodkan sebanyak 14 juta jualan.

Mengikut rekod SME Corp, projek-projek inovasi tersebut telah memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 37 ribu orang terutama daripada golongan B40 dan OKU secara langsung mahupun tidak langsung.

Sebagai contoh, Profesor Dr. Mohd Yazid Bajuri yang mencipta inovasi kasut palsu dan telah memberi manfaat kepada para pesakit yang mungkin kurang mampu untuk mendapatkan rawatan dan juga kaki palsu (prosthetic leg) yang dijual di pasaran.

Pengasas Syarikat MyB Prosthetic Limb, Profesor Dr. Mohd Yazid Bajuri

Profesor Dr. Mohd Yazid Bajuri merupakan Pengasas syarikat MyB Prosthetic Limb, seorang Pakar Ortopedik dan Pensyarah di Jabatan Ortopedik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Minat beliau untuk inovasi ini sebenarnya bermula apabila beliau melihat keadaan pesakit-pesakit beliau.

Dalam bidang kaki dan buku lali (foot and ankle) ini, beliau mendapati kecederaan sama ada dari segi kecederaan trauma, kemalangan jalan raya ataupun dari segi kecacatan yang berlaku sejak lahir dan juga akibat daripada kencing manis.

Dari situ beliau nampak banyak masalah yang timbul dari segi kewangan terutama pesakit-pesakit yang menghidap penyakit diabetes.

Mereka yang mengalami kecederaan traumatik terpaksa melakukan amputasi kaki, dan selepas melakukan amputasi kaki, kebanyakan mereka tidak mampu memiliki kaki palsu (Prosthetic Leg) kerana kosnya yang terlalu tinggi.

Paling menyedihkan, ada diantara mereka merupakan ketua keluarga yang perlu mencari rezeki untuk menampung kehidupan keluarga, dan ada juga yang terdiri daripada orang muda yang baharu saja hendak memulakan kehidupan sehingga mereka merasakan diri mereka sangat kekurangan.

Keadaan inilah yang menyebabkan beliau rasa terbeban dan bertanggungjawab untuk mengubah keadaan kehidupan mereka agar mereka dapat menjadi lebih baik.

Akhirnya, tercetusnya idea untuk mencipta inovasi kaki palsu untuk membantu mereka meneruskan kehidupan mereka.

Pada masa yang sama, mereka akan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi, taraf hidup dan memperbaiki keadaan mereka supaya mereka boleh kembali kepada masyarakat dan berbakti semula kepada masyarakat.

Menurut beliau, kaki palsu yang berada di pasaran pada ketika ini adalah kebanyakan daripada luar negara dan sudah tentu kosnya juga sangat tinggi.

Kerana kos yang tinggi, kita terpaksa membantu pesakit memohon untuk mendapatkan bantuan dan kadang-kadang apabila kos itu terlalu tinggi, bantuan agak lambat sampai kepada pemohon.

Kita bersyukur kerana kerajaan kita banyak membantu dalam memberi bantuan, tetapi kadang-kadang disebabkan permohonan terlalu banyak sehingga ia lambat sampai, menyebabkan pesakit-pesakit tersebut lambat ke arah pemulihan.

Jadi apabila ia sudah lambat ke arah pemulihan, otot-otot sudah menjadi lemah dan akhirnya apabila mereka mendapat kaki palsu tersebut, mereka hilang semangat dan rasa tidak kuat untuk mulakan kembali kehidupan mereka.

Dengan adanya inovasi kaki palsu ini, kita telah dapat menjimatkan kos sehingga lebih daripada 50% daripada kos pengeluaran yang sedia ada.

Dengan itu, kita dapat membantu mempercepatkan proses mereka mendapatkan bantuan kerana semakin rendah kos, semakin cepat mereka mendapatkan bantuan.

Dengan adanya idea inovasi ini, produk ini dapat membantu mereka yang memerlukan dan menurut Encik Zaky, ia adalah sebahagian daripada program menggalakkan inovasi yang ada di SME Corp dan program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang sekiranya dana masih disalurkan.

More from author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related posts

Advertismentspot_img

Latest posts

Penggunaan e-Permit Dalam Mengimport Bahan Tanaman ke Sarawak

Bahagian Biosekuriti Tumbuhan dan Kuarantin, Jabatan Pertanian Sarawak menetapkan semua Permit Import hanya sah untuk tempoh tiga bulan sahaja, dan setiap permit hanya boleh digunakan untuk satu konsaimen import sahaja bagi memastikan pengurusan yang teratur.

Jadual Hidrostatik dan iTimC Tingkatkan Efisiensi dan Ketepatan Pentaksiran Royalti

Royalti kayu yang dikutip bukan saja memberi pulangan kepada kerajaan, juga memberi manfaat kepada rakyat seperti pembinaan kemudahan infrastruktur dan penyediaan bekalan air bersih melalui Lembaga Kumpulan Wang Konsesi Hutan (CESS FUND) serta sokongan kepada sektor pendidikan di Sarawak.

Sustainability in Action

The Hari Terbuka Keusahawanan Sosial Belia (HTKSB) showcased Sarawak's social entrepreneurs, inspiring youth to pursue impactful business models that address community issues and promote sustainable development

Want to stay up to date with the latest news?

We would love to hear from you! Please fill in your details and we will stay in touch. It's that simple!