Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak (PNS) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH) telah mewujudkan Pusat Komuniti Digital atau Digital Community Centre (DCC) di beberapa buah perpustakaan kawasan komuniti terpilih.
Di Sibu, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Pusat Komuniti Digital (DCC) di Perpustakaan Desa Kampung Bahagia Jaya Teku, Sibu sabagai usaha untuk meningkatkan kemahiran digital komuniti serta membina keupayaan bakat melalui latihan asas literasi digital yang diadakan.
Perpustakaan Desa Teku kini memainkan peranan yang lebih besar iaitu sebagai pusat latihan berkaitan digital yang akan mendedahkan penduduk kampung kepada dunia luar.
Sebelum ini, Perpustakaan Desa Teku hanya menyediakan perkhidmatan pinjaman buku, bahan bacaan, penggunaan komputer serta mengadakan aktiviti untuk kanak-kanak dan dewasa.
Kini, Perpustakaan Desa Teku telah menjadi pusat komuniti tempatan untuk mencipta inovasi, sumber idea baharu, juga rakan kongsi dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan penduduk kampung.
Sempena lawatan ke DCC Teku baru-baru ini, RAKAN Sarawak telah menemuramah seorang pengunjung, kakitangan di bawah seliaan Pustaka Negeri Sarawak dan Pembantu Operasi Perpustakaan bagi mendapatkan pandangan mereka tentang inisiatif kerajaan ini.
Ling Jiunn Ping, 19, semakin gemar berkunjung ke perpustakaan yang sudah dilengkapi dengan teknologi canggih kerana banyak memberi manfaat kepada dia.

Sebelum adanya DCC, dia hanya dapat meminjam buku, berbeza dengan sekarang dimana dia kini dapat memanfaatkan kemudahan WiFi untuk mencari maklumat dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru.
Sebagai penduduk kampung Teku, dia berasa bangga kerana adanya kemudahan seumpama ini yang sudah pasti memberi banyak manfaat kepada penduduk terutama golongan pelajar seperti dia.
Vareslyson anak Juna, 25, petugas GETS DCC Teku difahamkan, sebelum wujudnya DCC, hanya beberapa orang saja yang sering ke perpustakaan untuk meminjam buku, namun setelah adanya DCC, jumlah pengunjung mula meningkat terutama dari golongan kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Malah, penduduk kampung turut memberi respon yang sangat menggalakkan apabila DCC menganjurkan program Reading Seed, PANDEi (People Accessible Network for Digital Empowerment and Inclusivity) dan Program Bersama Kanak-Kanak baru-baru ini.
Tidak dinafikan, DCC telah memberi impak besar kepada penduduk kampung kerana ia bukan saja membolehkan mereka menyertai program yang dianjurkan, malah turut memberi mereka peluang untuk menggunakan kemudahan digital yang disediakan.
Kemudahan-kemudahan yang disediakan di DCC Teku setakat ini ialah peralatan sidang video digital yang digunakan secara ‘touch screen’, dua (2) unit mesin pencetak 3D, lima (5) unit pen 3D, lima (5) unit tablet, komputer mikro dan peralatan makerspace, koleksi buku dan sebagainya.
Dengan tertubuhnya DCC di kampung Teku, sasaran pengunjung bukan lagi hanya tertumpu kepada kanak-kanak mahupun pelajar-pelajar sekolah sebaliknya turut tertumpu kepada peniaga, usahawan, golongan belia dan juga suri rumah.
Sulaiman bin Ibrahim, 33, Pembantu Operasi Perpustakaan Desa kampung Teku turut berkongsi pengalaman beliau yang sudah bertugas di perpustakaan ini sejak 2011.

Setakat ini, belum ramai penduduk kampung yang tahu kewujudan DCC Kampung Teku, namun beliau telah menghebahkan tentang berita gembira ini melalui laman sosial Facebook (FB).
Secara peribadi, beliau berasa lega kerana perpustakaan desa telah dapat menjalin kerjasama dengan DCC dari segi penganjuran program-program digital untuk komuniti di kampung Teku, secara tidak langsung ia akan dapat menambah bilangan ahli-ahli perpustakaan.
Pada pendapat beliau, DCC sangat diperlukan oleh penduduk di kampung Teku lebih-lebih lagi kemudahan internet secara percuma kerana hampir kesemua penduduk kampung sudah menyedari kepentingan internet dalam kehidupan mereka setiap hari.
Beliau berharap, jumlah ahli perpustakaan semakin meningkat dengan wujudnya DCC sekaligus akan meningkatkan pengetahuan digital dalam kalangan penduduk kampung.