Pustaka Negeri Sarawak telah mengambil inisiatif untuk membantu usahawan-usahawan kecil di kawasan luar bandar termasuk komuniti di Kampung Bakam dan penduduk di sekitar Sibuti dengan memperkenalkan usahawan kepada Perancangan Ekonomi Digital Kerajaan Sarawak melalui bengkel PANDei dan program Go Digital ASEAN.
Perkara ini dinyatakan Ketua Sektor Perkhidmatan Perpustakaan Pustaka Negeri Sarawak, Encik Razak Rambili Ketika ditemu ramah RAKAN Sarawak.
Program PANDei bertujuan untuk melengkapkan komuniti setempat dengan kemahiran digital asas agar mereka tahu menggunakan alat-alat mudah alih untuk saling berhubung dengan lebih baik dan lebih mudah, memanfaatkan kemahiran e-keusahawanan untuk meningkatkan taraf hidup, mengetahui adab serta tanggungjawab sebagai warga digital dan sebagainya.
Kemahiran-kemahiran ini juga sejajar dengan kegiatan harian seperti mencari maklumat dalam talian, saling berhubung melalui e-mel atau aplikasi sembang, melakukan urus niaga atau pembayaran elektronik secara dalam talian dan menggunakan perkhidmatan digital inisiatif kerajaan.
Melalui program PANDei ini, para peserta akan berpeluang mengikuti modul-modul yang disediakan seperti; Pengurusan maklumat dan komunikasi; Menggunakan Inisiatif digital kerajaan; Berurusan secara digital; Keselamatan dalam talian; dan Pustaka in a Box.
Melalui program Go Digital ASEAN, usahawan-usahawan kecil juga akan didedahkan dengan aplikasi SarawakPay bagi melatih mereka menggunakan kaedah digital dalam menjalankan urusan perniagaan setiap hari.
Selain itu, Pustaka Negeri Sarawak turut memperkenalkan platform ‘Open Learning e-Pelancongan’ kepada para peserta sebagai pengisian program.
Bagi membantu usahawan memilih gambar yang lebih sesuai untuk mempromosikan produk mereka, Pustaka Negeri turut memperkenalkan Modul Fotografi Produk serta mengajar mereka mendaftar akaun di media sosial agar mereka mempunyai teknik dan strategi berkesan dalam mempromosikan produk-produk mereka.

Menurut Encik Razak, sebanyak 43 program telah dijalankan di DCC Bakam sejak Oktober 2020 sehingga Mei 2021 melibatkan penyertaan sebanyak 311 peserta bagi program fizikal.
Untuk rekod, sebanyak 522jumlah pengunjung yang telah menggunakan perkhidmatan DCC Bakam sehingga Mei 2021.
Menurut beliau, pandemik COVID-19 telah sedikit sebanyak merencatkan perancangan aktiviti di DCC Bakam namun, dengan norma baharu, pihak Pustaka telah menjalankan aktiviti secara ‘virtual’ bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan.
Antara aktiviti yang telah diadakan secara ‘virtual’ ialah Program Sembang Sabtu yang dikelolakan oleh Unit Perkhidmatan Komuniti, Pustaka dengan Kerjasama Persatuan Belia Miri.

Program Sembang Sabtu itu dijalankan pada setiap hari Sabtu bermula pada pukul 8:00 malam sehingga 9:00 malam.
Berdasarkan rekod, Program Sembang Sabtu secara keseluruhannya telah meraih sebanyak 1,069 ‘Suka’, 1,685 ‘Kongsi’ dan melibatkan 48,303 peserta virtual.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Sibuti YB Tuan Lukanisman Bin Awang Sauni dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir YB Encik Ripin bin Lamat telah bersetuju untuk menjadi penasihat kepada DCC Bakam.

Kedua-dua wakil rakyat ini sentiasa menyokong dalam pelaksanaan program-program yang dijalankan misalnya menjadi tetamu undangan bagi Program Sembang Sabtu serta Bacaan Bersama Pemimpin yang telah meraih ribuan penonton secara virtual.
Sejak dari awal, DCC Bakam telah mencipta akaun Facebook (FB) serta kumpulan Whatsapp bagi memudahkan proses pelaksanaan program.
Kumpulan Whatsapp adalah untuk kemaskini maklumat diantara Pustaka, DCC Bakam serta JKKK Kampung Bakam manakala laman Facebook digunakan sebagai medium untuk menghebahkan setiap program-program yang sedang dan akan dijalankan.
Selain itu, laman Facebook juga digunakan untuk mempromosikan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan di DCC Bakam serta sebagai salah satu cara untuk memperoleh maklum balas daripada peserta-peserta program dan pengunjung DCC Bakam.
