Pelbagai pihak telah menyambut baik usaha Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pustaka Sarawak untuk melaksanakan Projek Pusat Komuniti Digital (DCC) di Perpustakaan Desa Kampung-kampung di kawasan luar bandar.
Hal ini kerana ianya adalah satu-satunya usaha untuk mendigitalisasikan kawasan luar bandar kerana masih banyak kawasan luar bandar yang memerlukan banyak suntikan khususnya dalam penyediaan infrastruktur berkaitan.
Pengurus DCC Kampung Sebiris, Puan Mahayah binti Haji Raduan tidak menafikan bahawa DCC telah memberi impak besar kepada komuniti setempat kerana DCC dilengkapi dengan perkhidmatan dan kemudahan yang mencukupi seperti komputer, internet, tablet, mesin pencetak dan sebagainya.
Kemudahan-kemudahan yang ada ini telah dapat membantu komuniti setempat menjalankan tugas-tugas harian yang banyak bergantung kepada internet seperti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), pencarian maklumat, mencari kerja, urusan perniagaan dan sebagainya.

Selain itu, program-program yang dianjurkan oleh DCC juga sangat bermanfaat kepada komuniti setempat yang tidak mengira lapisan umur misalnya program PANDei, Go Digital ASEAN dan Reading Seeds yang sangat berguna kepada golongan usahawan, belia dan juga ibubapa.
Program seperti Go Digital ASEAN yang memberi fokus kepada bakal usahawan sangat membantu komuniti setempat belajar bagaimana menggunakan kemudahan teknologi untuk perniagaan mereka.
Komuniti setempat juga boleh menggunakan kemudahan internet dan kemudahan ICT yang disediakan untuk mendapatkan maklumat tentang pekerjaan yang mereka cari.

Walaupun tidak dapat digunakan secara sepenuhnya di masa pandemik ini, DCC dapat membantu komuniti yang sedang mencari pekerjaan dan usahawan kecil yang menjalankan perniagaan melalui program-program yang diadakan.
Selain menyediakan kemudahan-kemudahan digital yang serba lengkap, Pengurus Perpustakaan Desa Baji Jaya, Encik Sabana bin Haji Yassin menyifatkan DCC turut memberi manfaat kepada golongan usahawan atau pemula peniaga.
Hal ini kerana, perkhidmatan DCC yang menyediakan kursus untuk membimbing para pemula peniaga dan usahawan dalam menggunakan perkhidmatan e-wallet dan pengiklanan produk melalui laman sosial telah memudahkan mereka menjalankan perniagaan mereka.
Program seperti Go Digital ASEAN yang memberi fokus kepada bakal usahawan, usahawan dan pencari kerja sangat membantu komuniti setempat.
Melalui program tersebut, bakal usahawan dapat belajar bagaimana hendak memanfaatkan kemudahan teknologi untuk menjalankan perniagaan mereka manakala pencari kerja boleh memanfaatkan internet dan kemudahan ICT untuk mendapatkan maklumat tentang pekerjaan.
Guru Sk Tunoh Apoh, Shanny Lasah yang berasal dari Long Panai menyifatkan program-program yang diadakan di DCC adalah sangat bagus kerana ia memberi pendedahan teknologi digital kepada masyarakat tempatan terutama masyarakat di luar bandar.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Pasir, Juman Nyuwa berkata, program-program yang diadakan di DCC haruslah mengambil kira kumpulan sasar seperti warga emas.
Vesther Alvin, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan memberitahu dia sering menggunakan komputer riba dan webcam DCC Marudi untuk tujuan mencari kerja dan temuduga.
Karren Hashim pula berkata, DCC Marudi telah menyediakan ruangan bilik belajar yang sangat selesa untuk dia menjalani temuduga.
Manakala, Learry anak Jabul sering mengunjungi DCC Batu Kawa untuk belajar dan membuat tugasan-tugasan beliau kerana petugas-petugas DCC sering membantunya dari segi cara membuat laporan, menggunakan perisian untuk memproses data analisis dan sebagainya.
Learry mengakui, pelatih-pelatih DCC sangat berpengalaman dan boleh dianggap sebagai “subject expert” tambahan pula persekitaran DCC yang sangat selesa dengan adanya kemudahan internet percuma dan kemudahan yang serba lengkap.

Learry pernah menyertai kursus usahawan yang dianjurkan oleh DCC serta memberitahu banyak pengetahuan baharu diperolehi terutama dari segi penggunaan teknologi digital dan media sosial sebagai platform untuk memulakan perniagaan.
Mohd Takqim Liew yang pernah mengikuti program ‘Go Digital ASEAN’ bagi kategori pencari kerja secara dalam talian di DCC Pekan Batu Kawa memberitahu, program tersebut telah membantu dia dalam mendalami dan menggunakan teknologi digital dengan lebih yakin.
Dia juga berpeluang mempelajari asas-asas perniagaan dalam platform media sosial dan e-dagang seperti Lazada dan Shopify.