Jabatan Tanah dan Survei (JTS) antara agensi yang begitu komited dan konsisten dalam usaha pendigitalan perkhidmatan dengan menyediakan kemudahan secara dalam talian melalui eLASIS (Land and Survey Information System).
Menerusi eLASIS, urusan seperti jualan peta, carian pendaftaran tanah, siasatan premium dan sewa tanah, penyerahan instrumen tanah dan penyerahan kerja survei menjadi lebih mudah, tepat dan pantas.
Mengambil contoh urusan Pindahmilik Tanah Secara Jual Beli yang merupakan proses di mana pemilik asal menukar nama surat milik tanah kepada penama baharu setelah melakukan proses jual beli.
Permohonan pindah milik tanah boleh dikemukakan secara dalam talian dengan melayari laman web eLASIS di laman sesawang https://elasis.sarawak.gov.my.

Sebelum mengemukakan permohonan, pemohon perlu memastikan kondisi tanah tersebut adalah memerlukan kebenaran sebelum boleh dipindahmilik dimana terdapat klausa di dalam Surat Hakmilik yang menyatakan;
- ‘No dealing affecting this land be effected without the consent in writing of the Director of Lands and Surveys during the initial period of ten (10) years from the date of registration of this grant’ ATAUPUN
- ‘No dealing effecting this Land may be effected without the consent in writing of the Director of Lands and Surveys.

Sekiranya tiada klausa tersebut di atas, permohonan pindahmilik boleh terus dilakukan di Cawangan Pendaftaran Tanah.
Sehubungan itu, pemohon hanya perlu ‘log masuk’ akaun yang telah didaftarkan, tetapi sekiranya pemohon tidak mempunyai akaun, pemohon perlu mendaftar akaun terlebih dahulu.

Setelah log masuk, pemohon perlu klik pada aplikasi ‘Permission to Deal’ dan seterusnya klik kepada ‘Create New Application’ untuk membuat permohonan baharu.
Pemohon dikehendaki melakukan pemilihan yang tepat berkaitan urusan yang hendak dijalankan dengan memasukkan maklumat tanah serta nama pemilik yang berdaftar.


Pemohon harus klik pada deskripsi tanah sebelum meneruskan permohonan pindah milik, kemudian melengkapkan maklumat peribadi pemohon. (Sekiranya mempunyai lebih daripada seorang pemohon, sila tekan “add applicant”).
Sekiranya pemohon ada menggunakan khidmat ejen, ruangan “Affected Title Detail” perlu diisi (menyatakan sebab pemohon melakukan pindah milik tanah) bertujuan untuk memudahkan pegawai pemeriksa membuat dokumentasi ke atas permohonan tersebut.
Pemohon perlu melakukan pemilihan yang tepat berkaitan urusan yang dijalankan dengan memasukkan maklumat tanah serta nama pemilik yang berdaftar selain mengisi ruangan jumlah syer yang bakal dipindahmilik dan maklumat tanggungan sekiranya ada.
Pemohon perlu memuat naik dokumen-dokumen penting bagi memudahkan urusan pindah milik tanah yang dilakukan secara jual beli.
Berikut merupakan lampiran yang perlu dimuat naik bagi urusan jual beli tanah iaitu;
- Salinan kad pengenalan pemilik asal dan bakal penerima
- Salinan perjanjian jual beli
- Surat kebenaran pindahmilik daripada waris
- Akuan berkanun (jika berkaitan) / Statutory declaration (if relevant)
- Surat Akujanji / Letter of Undertaking (Land undeveloped)
- Surat kuasa / Probet (jika berkaitan)
- Surat kebenaran daripada pihak HDC, BDA, LCDA (jika berkaitan)
- Form 9, 24 & 49 (jika melibatkan Syarikat)
- MAA – yang mengandungi klausa berkenaan kuasa untuk memperoleh tanah (jika berkaitan)
- Director resolution (jika melibatkan Syarikat)
- Ekstrak minit mesyuarat (jika melibatkan Persatuan atau Lembaga)
- Sijil pendaftaran Persatuan atau Lembaga
- Salinan peraturan dan undang-undang Persatuan
Pemohon perlu memastikan setiap dokumen yang dimuat naik haruslah terang dan jelas kerana kesemua dokumen akan disemak dengan teliti bagi memastikan maklumat adalah lengkap dan bersesuaian dengan permohonan.
Jika terdapat maklumat yang tidak lengkap, pegawai pemeriksa akan menghantar semula (Query) permohonan kepada pemohon untuk mengemaskini maklumat yang diperlukan.
Sebagai makluman, JTS merupakan antara jabatan yang berjaya mempergiatkan inovasi penciptaan atau inovasi penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan memperkenalkan Aplikasi Peranti Mudah Alih (mLASIS) untuk perkhidmatan LASIS.
Secara ringkasnya, mLASIS adalah aplikasi mudah alih yang memudahkan pengguna untuk melakukan pencarian tanah atau siasatan ke atas mana-mana tanah di Sarawak pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Fungsi utama mLASIS ialah untuk mencari maklumat lot tanah; membeli pelan kadastra dan cetakan daftar hak milik tanah/strata; membayar tunggakan cukai dan premium; memperbaharui tempoh surat hak milik tanah; menghitung kadar premium untuk penukaran syarat tanah dari pertanian dan kediaman; serta menyemak notis Berkanun Seksyen 47 & 48 dan transaksi jual beli tanah pertanian.
mLASIS telah memberi manfaat kepada komuniti perniagaan yang berurusan dengan perkara-perkara melibatkan tanah secara tetap dan sentiasa bergerak selari dengan arus pembangunan.


mLASIS juga turut mengadaptasi Sarawak Pay sebagai salah satu kaedah pembayaran selain daripada debit langsung dan kad kredit sehingga berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa iaitu di Amsterdam, Belanda dan San Diego, Amerika Syarikat.