Pada 2019, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) telah merancang untuk menubuhkan Pusat Sains bagi melahirkan golongan pelajar yang memiliki kemahiran tinggi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Rancangan penubuhan Pusat Sains itu adalah sejajar dengan komitmen Kerajaan Sarawak mahu memberi fokus utama bagi memperluas pendidikan dalam bidang STEM sebagai perkara penting dalam membina generasi yang kreatif, inovatif dan kompetitif.


Pusat Sains ini dilihat sebagai satu projek yang akan memberikan impak besar kepada sektor pendidikan di Sarawak kerana ia bakal menjadi kunci kepada Sarawak dalam menyediakan rakyatnya untuk mengikuti perkembangan teknologi seiring dengan revolusi industri.
Pada dasarnya, penubuhan Pusat Sains Sarawak ini juga muncul daripada ilham setelah melihat Sarawak sebagai negeri yang mempunyai banyak sumber khazanah yang perlu dibuat penyelidikan melalui teknologi dan inovasi bagi kemajuan industri Sains.


Kita melihat bahawa Kerajaan Sarawak begitu komited dalam usaha hendak menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, menarik minat para pelajar, meningkatkan kesedaran serta semangat pelajar, guru dan masyarakat untuk meneroka bidang sains dan teknologi.
Dengan wujudnya Pusat Sains ini nanti, aktiviti pembelajaran informal sains dan teknologi dapat dilaksanakan dan secara tidak langsung akan menambah nilai pembelajaran di sekolah dan institusi melalui aktiviti interaktif sekali gus akan mempopularkan sains dan teknologi dikalangan masyarakat.
Pusat Sains ini sudah tentunya akan memberi manfaat besar kepada seluruh negeri Sarawak justeru, ia wajar dibangunkan untuk memberi pendedahan persekitaran kepada masyarakat khasnya golongan muda mengenai penemuan sains dan teknologi secara interaktif, menyeronokkan dan tidak formal.


Pusat Sains akan membantu pelajar dan orang awam memahami pengalaman yang mendalam dan interaktif melalui penerokaan sains dan aktiviti secara langsung daripada sekadar mendengar kuliah atau menonton demonstrasi semata-mata.
Demi merealisasikan matlamat ini, Kerajaan Sarawak telah menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Singapura yang telah berjaya menubuhkan Pusat Sains bertaraf dunia keranan negara itu akan menjadi model bagi Sarawak.
Kerjasama tersebut terjalin hasil lawatan MESTR ke Singapura pada 2018, dan pada Oktober 2020, Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah pun merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Sains yang terletak di Jalan Stadium.
Pusat Sains Sarawak dibangunkan di tapak seluas 10.8 ekar dan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya makmal-makmal Sains, Balai Cerap Astronomi, Kawasan Pameran Sains, Bilik Perbincangan, ruang pejabat, tapak perkhemahan termasuk asrama.

Difahamkan bahawa program yang ditawarkan di Pusat Sains ini nanti juga dapat melengkapkan aktiviti kokurikulum sains sekolah dengan menerapkan pembelajaran penerokaan sains dan teknologi melalui projek mini pelajar.
Di Pusat Sains Sarawak ini nanti, lebih banyak bahan pameran dapat direka dan dikongsi untuk menarik, merangsang dan mendorong para pelawat untuk menanam minat aktif terhadap sains dan teknologi.
Selain itu, pusat berkenaan juga akan menyediakan peluang kerjaya bukan hanya untuk graduan dan profesional berasaskan sains, malah lepasan sekolah atau pesara daripada pelbagai bidang turut berpeluang melanjutkan kerjaya sebagai sukarelawan sains tambahan.