Bidang startup atau syarikat pemula semakin mendapat tempat dalam komuniti usahawan tekno di negeri ini.
Baru-baru ini, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) telah menamatkan program TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2021.
Program ini turut dijayakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), FutureLab, Amazon Web Services, GRAB dan Borneo Digital yang merupakan rakan-rakan ekosistem TEGAS.
Sebanyak 10 daripada 20 syarikat yang menyertai program telah dipilih untuk membentangkan idea perniagaan mereka pada Hari Demo yang diadakan secara maya.
Tiga syarikat pemula, iaitu SnappEd, Seed dan Kompia House diumumkan sebagai pemenang utama TPAB 2021.

Produk inovatif yang dibentangkan oleh ketiga-tiga syarikat tersebut telah berjaya menambat hati panel hakim, pelabur peringkat awal, Kerajaan Negeri serta rakan kongsi ekosistem TEGAS.
SnappEd tampil dengan aplikasi pendidikan interaktif yang berupaya membantu guru dan pelajar dalam mengurus tugasan sekolah.
Malah, SnappEd menjadikan interaksi di antara pelajar, guru dan ibu bapa suatu pengalaman yang menyeronokkan.
Syarikat Seed membentangkan sebuah aplikasi permainan kasual dua dimensi yang dibangunkan berdasarkan prinsip falsafah Bruce Lee tentang air yang dinamakan sebagai Flow.
Permainan yang memerlukan pengguna menggerakkan telefon untuk mengawal aliran air dalam permainan ini mempunyai matlamat untuk membantu generasi milenial meredakan tekanan akibat persekitaran semasa.
Manakala Kompia House pula adalah syarikat pemula makanan yang membuat kompia, iaitu makanan ringan masyarakat Cina Foochow yang berasal dari Sibu dalam pelbagai perisa.
Syarikat ini telah berjaya membawa kompia ke Kuching serta wilayah selatan Sarawak dengan mempelbagaikan perisa kompia kepada perisa moden seperti kompia Lotus Biscoff.
Ketiga-tiga syarikat pemula ini memenangi RM5,000 daripada MaGIC serta pakej yang merangkumi sokongan pendaftaran syarikat daripada TEGAS, akses enam bulan ke platform mentor FutureLab, bantuan percuma daripada rakan ekosistem dan akses percuma selama tiga bulan di Hab Inovasi Digital TEGAS (TDIH) di Kuching, Bintulu dan Miri.
Selain daripada tiga pemenang tersebut, TPAB 2021 turut menyampaikan Anugerah Kehormat MaGIC kepada dua syarikat pemula, iaitu MoreDoor Interactive Sdn. Bhd. yang membina permainan digital bertemakan Kesultanan Melayu dan WAT Academy yang merupakan sebuah platform latihan perantis untuk menghubungkan anak muda yang sedang mencari pekerjaan dengan peluang pekerjaan. Masing-masing menerima RM2,500.
Lima buah lagi syarikat pemula, iaitu Clifton Food Asia, GoPasar, Blankscript Consultant Sdn. Bhd., Ben Raz Millions Resources Sdn. Bhd,. Icarus GrowthLab (IGL) masing-masing menerima RM1,000 daripada MaGIC.

Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS, YB Datu Haji Len Talif bin Salleh, misi TEGAS adalah mewujudkan peluang kepada syarikat pemula di peringkat awal serta komuniti keusahawanan digital di seluruh Sarawak.
Oleh itu, inisiatif TEGAS menganjurkan TPAB adalah sejajar dengan visi melahirkan lebih ramai usahawan tekno berjaya yang akan memacu ekonomi digital negeri ini.
Beliau turut berbangga dengan 20 syarikat pemula tempatan yang telah mengikuti TPAB pada tahun ini yang benar-benar mencerminkan kemampuan dan potensi syarikat pemula tempatan dalam mendorong pertumbuhan ekonomi di Sarawak.
Sedikit latar belakang mengenai TPAB, matlamat program ini adalah bagi mengembangkan perniagaan syarikat pemula peringkat awal untuk berkembang ke peringkat yang seterusnya.
Program bimbingan dijalankan selama satu minggu, bermula dari peringkat mengesahkan idea sehinggalah ke peringkat mencipta produk berdaya maju minimum (MVP) serta strategi go-to-market.
Kandungan latihan TPAB direka khas sesuai untuk pengasas syarikat pemula yang mempunyai idea-idea hebat tetapi kurang arif untuk memulakan perniagaan.
Syarikat yang telah memulakan perniagaan tetapi berdepan dengan pelbagai halangan ataupun syarikat yang sedang menjalankan projek tetapi sukar untuk menjadikannya bebas dari segi kewangan juga disarankan untuk mengikuti program ini.
Bermula dari hari pertama, peserta akan mempelajari selok belok bidang perniagaan meliputi model perniagaan dan kewangan, strategi pembangunan produk, pemasaran, pengumpulan dana dan pitching.
Kemuncak program, peserta-peserta dikehendaki membentangkan idea inovasi pada Hari Demo berbekalkan ilmu yang mereka telah pelajari selama seminggu.
Para peserta dilatih dan dibimbing oleh mentor-mentor berpengalaman dan terkemuka dalam dunia syarikat pemula di Malaysia.

Dalam penganjuran tahun ini, mentor-mentor yang terlibat termasuklah pengasas FutureLab, Brian Tan, pengasas RoundClud, Arif Tukiman, pengasas Fave, Yeoh Chen How, pengasas The Lorry, Nadhir Ashafiq, Pengasas bersama Borneo Digital, AR Mohd, Pengarah Urusan CentaCube, Sharifah Rafidah dan ramai lagi.
TPAB kali ini yang telah melangkah ke tahun keempat sejak bermula pada 2018 terpaksa dijalankan secara maya seperti pada tahun lepas berikutan penularan wabak COVID-19.
Berikut merupakan para pemenang TPAB pada tiga penganjuran yang lepas:
Pemenang TPAB 2018
- Wangi Lai PLT
- Menur Official
- Trifold Enterprise
Pemenang TPAB 2019
- Miracolo
- Uncle Green
- Hello Gabby
Pemenang TPAB 2020
- BabyBaru
- Artefact Studio
- Darmadia Archenode