Kerajaan Negeri Sarawak dalam usahanya menyediakan modal insan berketerampilan dan celik ICT telah mewujudkan 42 Pusat Komuniti Digital (DCC).
Pustaka Negeri Sarawak telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana projek. Projek ini merangkumi jangka masa selama 18 bulan dalam mendidik komuniti untuk menguasai literasi digital.
Selain itu, DCC juga menyediakan kemudahan tambah nilai Ekonomi Digital dalam membantu usahawan tempatan di samping memperkasakan mereka dalam kesiapsiagaan digital.
Melalui DCC juga, masyarakat di kawasan berkaitan dapat meningkatkan kapasiti bakat daripada aspek ekonomi melalui kemahiran digital dengan menggunakan kemudahan yang ada di DCC sebagai modal kepada usaha untuk menjayakan perniagaan.

Tuan Haji Japri Haji Bujang Masli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Pustaka Negeri Sarawak ketika ditemubual dalam rancangan Sembang Digital Normal Baru anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) dengan kerjasama AZAM Sarawak menerusi Selamat Pagi Sarawak di Sarawak FM menyatakan bahawa Pustaka Negeri Sarawak giat mempromosikan projek digitalisasi ini melalui hebahan radio dan juga platform online bagi menambah pengetahuan orang ramai mengenai 42 buah DCC yang menyediakan kemudahan ini kepada semua penduduk termasuk mereka yang berada di luar bandar.