SarawakPass Bakal Diperkenalkan

Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan SarawakPass, iaitu ‘pasport digital’ yang berfungsi sebagai penentusahan dalam talian untuk rakyat Sarawak.

Menerusi SarawakPass, rakyat boleh mengakses perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk perkhidmatan sektor swasta.

Inisiatif tersebut dimaklumkan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November 2023.

Menurut beliau, inisiatif tersebut diilhamkan daripada keberkesanan dan kejayaan SingPass yang kini diguna pakai oleh rakyat Singapura untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan dalam talian kerajaan.

Beliau yang merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu sebelum ini pernah menyuarakan cadangan untuk memperkenalkan SarawakPass ketika berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik 2023 di Kuching pada 19 Mei tahun lepas.

Jelas beliau, SarawakPass bakal menjadi identiti digital yang boleh dipercayai untuk setiap rakyat Sarawak.

Keberkesanan dan kejayaan SingPass di Singapura mendorong Kerajaan Sarawak memperkenalkan SarawakPass bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan digital kerajaan dengan lebih efisyen dan selamat

Menerusi penggunaannya kelak, beliau menjangka, SarawakPass juga akan memacu keberkesanan dan penglibatan digital dalam kalangan rakyat yang seterusnya akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan pertumbuhan inklusif sosial.

Secara asasnya, pasport digital merujuk pada pengenalan identiti individu mudah alih yang wujud secara digital dalam bentuk elektronik atau berkomputer serta selamat digunakan.

Platform tersebut mempunyai fungsi yang sama seperti pasport fizikal yang turut mengandungi butiran peribadi seperti nama, tarikh lahir, jantina, kewarganegaraan termasuk maklumat biometrik seperti cap jari atau data pengecaman muka.

SarawakPass yang berfungsi sebagai pasport digital bakal dilaksanakan di Sarawak

Dokumen digital berkenaan boleh disimpan di telefon pintar, komputer atau mana-mana peranti elektronik yang lain.

Penggunaan pasport digital membolehkan individu mengakses maklumat peribadi dan mengesahkan identiti secara elektronik.

Kebiasaannya, pasport digital menggabungkan penyulitan lanjutan dan langkah keselamatan untuk melindungi maklumat sensitif daripada capaian yang tidak dibenarkan bagi memastikan kekukuhan privasi dan integriti data.

Pasport digital menawarkan cara yang mudah dan selamat untuk membuktikan identiti seseorang dalam alam digital seperti dalam urusan perbankan dalam talian, e-dagang, perkhidmatan kerajaan digital termasuklah akses selamat ke kawasan larangan.

Di Singapura, SingPass yang dikendalikan oleh Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) digunakan secara meluas oleh rakyat di negara berkenaan.

Melalui SingPass, individu berstatus kewarganegaraan dan penduduk tetap dengan memiliki kad pengenalan (NRIC) ataupun Nombor Identifikasi Asing (FIN) dapat mengakses perkhidmatan e-kerajaan seperti perkhidmatan kesihatan, kewangan, pendidikan, imigresen serta perkhidmatan pelesenan dan pendaftaran perniagaan dengan mudah dan selamat.

Berdasarkan pada penggunaan SingPass yang meluas dan efisien, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mencontohi Singapura dengan memperkenalkan SarawakPass.

Pada masa ini, rakyat Sarawak boleh mengakses perkhidmatan dalam talian kerajaan hanya dengan log masuk tunggal melalui SarawakID.

Rekod semasa menunjukkan seramai lebih 957,000 pengguna berdaftar di Sarawak memiliki akses untuk mendapatkan perkhidmatan dalam talian kerajaan

Setakat ini, lebih daripada 957,000 pengguna berdaftar di Sarawak memiliki akses untuk perkhidmatan dalam talian kerajaan.

Premier Sarawak juga memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan SarawakID Corporate yang disediakan khusus untuk badan korporat mengakses perkhidmatan dalam talian kerajaan.

Kesemua perkhidmatan dalam talian kerajaan untuk urusan dalam sektor perniagaan menerusi SarawakID Corporate dijangka boleh digunakan pada 2024.

More from author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related posts

Advertismentspot_img

Latest posts

Penggunaan e-Permit Dalam Mengimport Bahan Tanaman ke Sarawak

Bahagian Biosekuriti Tumbuhan dan Kuarantin, Jabatan Pertanian Sarawak menetapkan semua Permit Import hanya sah untuk tempoh tiga bulan sahaja, dan setiap permit hanya boleh digunakan untuk satu konsaimen import sahaja bagi memastikan pengurusan yang teratur.

Jadual Hidrostatik dan iTimC Tingkatkan Efisiensi dan Ketepatan Pentaksiran Royalti

Royalti kayu yang dikutip bukan saja memberi pulangan kepada kerajaan, juga memberi manfaat kepada rakyat seperti pembinaan kemudahan infrastruktur dan penyediaan bekalan air bersih melalui Lembaga Kumpulan Wang Konsesi Hutan (CESS FUND) serta sokongan kepada sektor pendidikan di Sarawak.

Sustainability in Action

The Hari Terbuka Keusahawanan Sosial Belia (HTKSB) showcased Sarawak's social entrepreneurs, inspiring youth to pursue impactful business models that address community issues and promote sustainable development

Want to stay up to date with the latest news?

We would love to hear from you! Please fill in your details and we will stay in touch. It's that simple!